PADA tahun 1973, pembuat filem Albert dan David Maysles menyelami dunia ganjil Big Edie dan Little Edie Bouvier Beale. Kedua-dua saudara pelik ini mempunyai talian persaudaraan dengan isteri presiden Amerika Syarikat ke-35, John F Kennedy, Jacqueline Bouvier Kennedy.
Hasilnya, kedua-dua pembikin filem ini dapat menghasilkan dokumentari bertajuk Grey Gardens yang memaparkan kehidupan seharian pasangan ibu dan anak ini secara jujur.
Tidak siapa yang dapat menduga filem dokumentari selama 100 minit ini akan membawa kedua wanita ini ke alam kemasyhuran sehinggakan mereka yang sebelum ini terasing daripada masyarakat menjadi terkenal setelah warisan mereka berkembang dari tahun ke tahun.
Tiga puluh lima tahun kemudian, dengan menggunakan dokumentari terbabit sebagai sumber rujukan, penulis yang juga penerbit, Michael Sucsy, memaparkan pandangan di sebalik tabir kehidupan anak beranak Beales ini, serta hubungan ibu dan anak yang begitu unik, menerusi filem terbitan asal HBO, Grey Gardens.
Filem yang berkisar mengenai kehidupan mereka sepanjang empat dekad ini menceritakan gaya hidup pasangan anak-beranak itu yang sebelum ini penuh dengan glamor dan kemewahan, serta keadaan yang menyebabkan mereka kemudian terjerumus ke kancah kemiskinan.
Drew Barrymore memenangi anugerah Golden Globe untuk wataknya sebagai Little Edie dan Jessica Lange pula menggondol anugerah Emmy untuk watak Big Edie. Malcom Gets dan Daniel Baldwin turut membintangi filem ini bersama Ken Howard, manakala Jeanne Tripplehorn pula memegang watak Jacqueline Bouvier Kennedy.
Barrymore sememangnya meminati filem dokumentari terbabit sejak sekian lama. Dia juga mempunyai salinannya dalam koleksi peribadi. Pelakon itu sedar fenomena yang dibangkitkan oleh dokumentari ini ketika menerima skrip daripada Sucsy. Dalam keghairahannya untuk memegang watak Little Edie, Barrymore menonton kembali filem dokumentari ini, serta menumpukan perhatian terhadap penyelidikan watak yang bakal dipegangnya.
Barrymore juga sanggup melakukan apa saja bagi memastikan dia dapat menjayakan watak berkenaan.
“Saya tak pernah menelaah dengan begitu tekun sekali untuk mana-mana watak sepanjang kerjaya saya," jelas pelakon berusia 35 tahun itu.
Apabila bertemu dengan Albert Maysles pula, dia bertanya “lebih kurang lima ribu” soalan, kata Barrymore. Untuk mendalami jiwa dan raga Little Edie dengan sepenuhnya, dia mengambil kelas mempelajari loghat yang sebenar selama beberapa bulan; belajar dari koreografer untuk dua adegan tarian, memakai gigi palsu, lensa sentuh serta kulit yang berlainan. Pada kebiasaannya, dia menghabiskan tiga jam setiap hari menyiapkan tata rupa dengan kosmetik serta anggota gantian palsu dan mengambil-alih cara pemikiran yang berbeza.
Barrymore begitu berdisiplin sehinggakan dia menjauhi diri dari kawan-kawannya, memadamkan Blackberry serta komputer riba selama tiga bulan. Sebaliknya, dia hanya membaca buku yang dibaca oleh Edie. Malah dia turut membaca coretan peribadi Edie pada waktu malam.
Barrymore juga mengenalpasti akhbar New York Times dari tahun 1930-an ke 1970-an dan membacanya setiap hari mengikut turutan seperti mana Little Edie membacanya.
“Edie begitu tersisih daripada masyarakat dan begitu terdesak untuk mencari kebebasan daripada belenggu kesepian yang dialaminya, Saya tidak dapat memahami apa yang dilaluinya jika saya tidak membenarkan diri saya dibelenggu kesepian ini," katanya.
Jessica Lange pula menggunakan dokumentari asal itu sebagai alat harian untuk mempelajari watak Big Edie dengan lebih mendalam. “Pembuat filem dokumentari asal menggambarkan watak kedua-dua wanita ini dalam cara yang amat mengasyikkan sekali, sehinggakan watak mereka seolah-olah menghantui diri saya. Anda akan jatuh cinta dengan kedua-dua wanita ini kerana mereka begitu aneh dan luar biasa, serta di luar lingkungan orang yang pernah anda kenali," katanya.
Lange turut menerima asuhan loghat dari jurulatih Howard Samuelsohn dan belajar daripada DVD Grey Gardens siang dan malam supaya dapat menangkap irama suara Big Edie serta tingkah laku peliknya, demi menjiwai watak itu dengan sepenuhnya. Ada juga adegan yang memerlukan Lange menyanyi beberapa lagu. Dia menerima cabaran nyanyian ini dengan sepenuh hati, tanpa sebarang keraguan walaupun dia tidak menganggap dirinya seorang penyanyi.
“Jika saya hendak menghidupkan watak ini, saya perlu melakukannya dengan segala jiwa dan raga," katanya.
Banyak perkara yang harus dipertimbangkan selaku Big Edie dari jangkauan umur 38 hingga 77 tahun. Di samping belajar menyanyi dan menari, Lange juga terpaksa menyesuaikan diri terhadap wataknya yang kian berusia dan bagaimana proses penuaan ini memberi kesan terhadap perubahan dari segi penampilan dan perasaannya menggunakan anggota tiruan (prostetik).
“Saya terpaksa berhadapan dengan semua ini kerana watak yang saya pegang kian menjadi tua. Saya terpaksa berfikir apa yang akan terjadi kepada bibir saya. Apa yang berlaku kepada rangka otot muka saya setelah otot-otot ini kian regang? Bagaimana pula dengan suara saya ketika saya dijangkau umur 70-an berbanding dengan 30-an? Tambahan pula, loghat saya pula mesti tepat dan jitu!" kata Lange.
PEMENANG anugerah Emmy dan Golden Globe, Grey Gardens, yang dibintangi Drew Barrymore dan Jessica Lange akan ke udara pada jam 9 malam ini di HBO (Astro saluran 411) / HBO HD (Astro saluran 431). Siaran ulangan pada 26 September, jam 1 tengah hari dan 11.25 malam, serta 29 September, jam 7.10 malam. Layari sesawang www.hboasia.com untuk maklumat lanjut.
No comments :
Post a Comment
DoNT 4Get To DrOp Me A cOmMent b4 u LeaVe..
tQ.. =)